Sunday, June 10, 2007

Kisah Jejak Raja Berdaulat

Novel Jejak Raja Berdaulat ini masih di dalam penulisan.

Ia mengisahkan seorang anak muda bernama Azri yang dilahirkan tanpa mengenali siapa bapa kandungnya. Semasa masih bayi, ibunya yang bekerja di Kuala Lumpur pulang ke kampung dan menyerahkan Azri kepada datuk dan nenek untuk dijaga. Ibu Azri tidak pernah menceritakan kepada sesiapa pun mengenai bapa kepada bayinya itu. Ini menimbulkan fitnah masyarakat kampung yang mengatakan Azri adalah anak luar nikah.

Belum sempat Azri mengenali erti dunia, ibunya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Azri terus dibesarkan di kampung oleh datuk dan neneknya. Hidupnya dihina dan dicaci oleh masyarakat kampung. Disinilah munculnya seorang lelaki dari alam ghaib yang dikenali sebagai Tok Haji sebagai pendamping Azri, meyakinkan dirinya mempunyai darah yang suci dan bertitiskan keturunan raja berdaulat.

Azri terus membesar sebagai seorang yang berjaya di dalam pelajaran dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke England. Semasa masih di dalam pengajian, nenek yang dikasihi telah kembali menemui Allah Subhanawa Taala, diikuti pula dengan datuknya beberapa bulan selepas itu. Hidupnya kini kosong dan tidak mempunyai sesiapa pun di dunia ini. Sehinggalah dia bertemu dengan seorang anak bangsawan dari Brunei yang menuntut di universiti yang sama. Azri seakan-akan hilang pedoman dengan kemewahan yang diberikan oleh kekasihnya, Nurul Maseela. Diri Azri kini sudah melupai perintah tuhan. Arak menjadi minuman, disko menjadi rutin harian dan mula hidup bersekedudukan dengan kekasihnya.

Akhirnya keluarga Nurul Maseela mengetahui bahawa Azri hanya anak kampung yang miskin dan tidak mempunyai keluarga. Atas paksaan ibubapa Nurul Maseela, mereka berpisah. Azri kemudiannya pulang ke tanah air.

Kini, dia baru sedar dahinya telah lama tidak menyentuh kain sejadah, betapa kemewahan telah mengaburinya. Dia pulang ke kampung menziarahi kubur ibu, datuk dan nenek. Dia mula sedar siapa dirinya dan bertaubat. Tok Haji yang telah lama tidak mendampingi Azri kini muncul kembali memberikan bayangan di dalam menjejaki siapa bapa kandungnya. Berbekalkan barangan yang diberikan dari alam ghaib seperti batu delima, sebilah keris berbalut kain kuning dan sebiji geliga embun, Azri mengembara bersama rakannya, Huda di dalam menjejaki raja berdaulat.

Sedikit sedutan diawal cerita.

Cura Si Manja Kini

Pemilihan nama pena Cura Si Manja Kini adalah sempena kedaulatan Kesultanan Perak seperti mana yang cuba dikupas oleh penulis di dalam novel Jejak Raja Berdaulat.

Pedang ini adalah merupakan salah satu alat kebesaran diraja Perak, melambangkan kedaulatan Kesultanan tersebut. Dikisahkan pedang ini adalah milik Sang Sapurba yang digunakan untuk membunuh ular Sakti Muna sebelum baginda dirajakan di Tanah Minangkabau. Pedang ini diturunkan kepada Parameswara dan kini kekal menjadi milik Sultan-sultan Perak yang berdaulat.

Walaupun kelayakan akademik penulis ialah di dalam bidang Sains, namun minat yang mendalam mengkaji sejarah membuatkan penulis memilih genre sejarah di dalam pengembaran diselitkan juga dengan unsur-unsur mistik yang banyak dikaitkan dengan keturunan raja berdaulat.

Novel ini masih di dalam penulisan. Diharap dapat disiapkan, insyallah.